Isnin, 26 September 2016

Bab 23 ~ BERDUA TANPA CINTA


[Sebahagian nama lokasi, bangunan, jalan dalam cerita ini cuma rekaan penulis semata2. Mungkin ada bahagian yang tak logik dan tak boleh diterima pakai, nama pun fiksyen. Gambar sekadar hiasan dan 99.9 % milik google]


“Nina…Nina…”



Sayup-sayup terdengar namaku dipanggil. Siapa yang panggil aku? Suara siapa tu?



“Nina…”



Macam suara Redza. Tapi tak mungkin dia.



“Nina…”



Sekali lagi suara tu kedengaran. Perlahan-lahan aku buka mata. Pandangan aku kabur…



“Nina…”



Redza? Aku pandang imej di depanku. Betul ke Redza? Atau aku mimpi sekarang ni?



“Nina, kenapa boleh jadi macam ni?”



“Redza…”



Masa ni aku yakin dia Redza tapi suara aku rasa macam tak mampu nak keluar. Cuma airmata saja yang mula mengalir lagi. Redza terus peluk aku. Lama aku menangis di dadanya.






Redza membetulkan kedudukan kakiku yang berbalut itu. Sejak sampai rumah tadi, Redza terus dudukkan aku di sofa panjang di ruang tamu.



“Kenapa?” tanyaku pada Redza yang sejak tadi hanya merenungku.



Redza geleng. Tapi dari wajahnya aku nampak dia tak setenang mana pun. Aku tahu dia marah. Marah dengan apa yang jadi pada aku.



Tadi, Redza terus bawa aku ke klinik. Lama juga doktor periksa aku dan buat macam-macam test termasuk buat xray. Nasib baik tak ada kecederaan teruk sangat. Cuma lebam dibeberapa tempat di badan termasuk luka di bibir dan dahi.



Tapi doktor masih meminta aku datang semula untuk buat pemeriksaan, kalau ada darah beku yang terjadi. Kaki aku pun perlu dirawat juga, lukanya agak besar akibat hentakan bertalu-talu Aliza. Rupanya dia pukul aku dengan kaki meja yang dah tercabut. Patut kaki aku sampai luka teruk.



Redza dah nak buat report polis. Tapi aku tahan dia. Aku tak nak hal ni jadi kes polis. Pasti keadaan jadi rumit lagi. Lama juga dia pujuk untuk aku setuju. Tapi sudahnya dia akur dengan keenggananku. Tapi dia memang tak puas-hati pun. Nampak sangat. Mungkin kalau aku di tempatnya, aku juga akan marah lebih dari dia.



“Maaf sebab tak dapat lindungi you. Kalau I tahu jadi macam ni, I takkan hantar you balik semalam. I…”



“Redza, awak tak salah apa pun.”



“Tapi kalau…”



“Tak baik guna perkataan kalau. Benda dah jadi, lagi pun saya tak apa-apa.”



“Tak apa-apa? Macam ni pun you masih kata tak apa-apa Nina? I marah sangat bila tengok keadaan you teruk macam ni. Sanggup mereka buat you macam ni. Nasib baiklah I terfikir nak tengok you bila I call asyik tak jawab. Call Zarin, dia cakap you tak datang office. Kalau I tak datang pagi tadi…entah mungkin you masih terlantar sorang-sorang kat sana.”



“Dan awak harus bersyukur sebab Allah bukakan hati awak untuk pergi tengok saya,” sambutku sambil membalas renungan redupnya. Redza tunduk pula. Pandang tempat lain. Lama kami cuma diam saja.



Redza mencapai tanganku. Digenggamnya seketika sebelum dia membelek jemariku.



“Cincin yang I bagi…”



“Aini ambik. Dua-dua…” Takut-takut aku bagitahu.



Redza berang.



“Iphone tu rasanya dah pecah sebab…”



“Takpe, I belikan yang baru untuk you. Mereka melampau sangat!” Potong Redza masih lagi dengan nada marah.



Aku balas genggaman tangannya. Dengan harapan sedikit marahnya itu hilang. Aku tak mahu dia berterusan marah dengan hal ini. Biarlah hal ini redah saja.



“Lepas ni, janji dengan I yang you takkan ke rumah tu lagi.”



“Tapi Redza, barang-barang saya...”



“I belikan semua yang baru untuk you. You jangan bimbanglah.”



“Tapi…tak semua benda boleh diganti dengan yang baru. Kat sana banyak barang…”



“Ok, nanti kita ambik apa yang Nina nak simpan. Tapi jangan sesekali ke sana tanpa I. Ingat tu?” Tegas Redza. Aku angguk.



“Lepas ni dengar cakap I . I suami you…maknanya cakap I yang you perlu dengar bukan lagi cakap makcik you tu atau anak-anaknya. Fahamkan?” Tambah Redza lagi.



Aku angguk lagi. Mungkin sudah tiba masanya aku harus mengubah pegangan dan kebiasaan aku selama ni. Aku cuba senyum untuk dia tapi luka di hujung bibirku agak pedih pula. Tak mampu nak mengorak senyum pada dia.



“Redza, sebenarnya I tak sangka pun you akan datang. I ingat, I takkan berpeluang berbaik dengan you lagi…terima kasih sebab datang…”



Redza hanya diam. Perlahan-lahan merapatkan diri dan memelukku. Nampak berhati-hati mungkin dia takut aku akan sakit. Lama aku didakapnya. Rasa begitu selamat dan tenang saja perasaanku kala itu.









Tiga hari sudah berlalu, keadaan aku dah ok pun. Pagi tadi Redza bawa aku sekali lagi ke klinik untuk buat pemeriksaan. Mujur semuanya ok saja. Tak ada apa yang dibimbangkan. Pagi tadi juga makcik tak habis-habis menghubungi telefonku. Ringan saja aku nak sambut. Tapi sebab Redza ada aku batalkan saja niat itu.



Dua hari ni Redza jaga aku dengan baik. Sebenarnya aku tak biasa pun bila diberi layanan macam ni. Aku bukannya sakit teruk pun. Demam dan badan lebam-lebam saja. Tu pun aku masih mampu untuk uruskan diri sendiri. Cuma kaki aku saja yang masih berbalut dan menyukarkan pergerakanku.



Esok aku dah mula kerja semula walaupun Redza desak untuk aku sambung cuti sakit lagi. Tapi aku tak nak. Aku bukan jenis yang suka duduk diam-diam melayan rasa sakit. Lagipun aku rasa segan juga bila Redza layan aku lebih-lebih. Sebab aku dia kena balik awal dari kebiasaannya. Pagi tadi pun dia masuk sebelah tengah hari. Aku tak mahulah susahkan dia. Cukup-cukuplah pertolongannya selama ni.



Aku betulkan kusyen kecil di belakangku. Lepas makan malam tadi dan minum ubat, mata aku dah kuyu pun tapi masuk bilik tak boleh lelap pula. Sudahnya aku keluar dengan kaki yang terjengkit-jengkit. Redza bising juga…dia kalau tahu aku nak bergerak, cepat saja nak papah aku. Tapi adalah beberapa kali dia dengan selamba saja dukung aku sebab tak sampai hati konon tengok aku menahan sakit bila melangkah.



“Kerja banyak lagi?” Tanyaku memandang Redza yang nampak tekun menghadap laptop-nya.



“Sikit lagi…sebenarnya tak banyak sangat kerja pun.” Ujarnya mula menyimpan helaian kertas di briefcasenya. Tak lama kemudian sudah mematikan laptop-nya. 


Lepas itu Redza hanya duduk memandangku yang sedang menonton TV. Bila aku toleh, dia senyum-senyum pula.



“Kenapa?” Tanya aku pelik. Redza senyum lagi. Geleng. Tapi terus bangun dan merapatiku. Rambut di dahiku diselaknya dan terasa satu kucupan di situ.



“Nina nak dengar lagu tak?” Soalnya masih di sebelahku.



Aku angguk saja. Ingatkan dia maksudkan dengar lagu dari ipod-nya. Rupanya dia pergi ambil gitar dan mula memainkan lagu Fly-Terbang.



Aku sengih…teringat lagu tulah yang aku nyanyi macam orang gila masa kat pulau dulu. Dan lagu itu juga dia nyanyi masa di café. Sekarang, lagi sekali dia nyanyikan lagu tu. sedap saja suaranya aku dengar. Malah lebih bagus berbanding masa di pulau dulu tu.



Selesai lagu tu dia mainkan irama lagu lain pula. Aku cuba tangkap iramanya tapi tak tahu pun ni lagu siapa.



“Lagu siapa?” Tanya aku.



“Lagu yang I cipta untuk kita.” Balasnya dengan senyuman. Seketika dia sudah mula menyanyi.



Rhapsody Kekasih



Letakkan wajahmu kekasih

di dadaku

Andai kau mahu ketahui

rahsia hatiku yang kasih

Kasih padamu

Ku harapkan

Kau rasai



Nafasku dan nafasmu bersatu di dalam rindu

Dan terhenti waktu

Semua yang lain sekelilingku tak bererti

Dan tak terbayang

Bila kau tiada di sisiku

Resah…



Padamkan lampu

Dekat padaku

Biarkan waktu berlalu

Ciumlah aku usaplah pipiku

Biarkan waktu terus berlalu



Berkerut dahiku mendengar lagu itu. Redza ni…selamba saja nyanyi lagu yang berbaur cinta macam tu. Nampak sangat sisi nakalnya waktu ni. Boleh pula dia cipta lagu macam tu.



“Suka lagu tu?” Tanyanya bila dia habis menyanyikan lagu itu.



“Kenapa buat lagu macam tu? Tak malu.” Balasku. Redza tertawa kecil pula.



“Saja…masa tu I rindu sangat dekat you. Spontan aje terus buat lagu ni.”



Dia dapat idea buat lagu dan lirik tu masa rindu aku? Wah! Boleh rupanya aku jadi inspirasi pada seseorang. Irama lagu tu memang boleh tahan. Rasanya boleh jual tapi bab lirik kalau nak lulus kena tukar kepada yang lebih sopan dan tertutup, rasanya.



“Semua tu, bukan sekadar lagu…tapi rasa hati I yang sebenarnya pada you. I memang…nakkan you.”



Kata-kata Redza membuat aku terkebil-kebil pula memandangnya. Redza nampak lebih berani meluahkan keingininnya.



“Redza…”



“Ya, I tahu…you tak rasa semua tu. Tapi I akan tunggu sampai you juga punya keinginan macam tu. I akan tunggu sampai you izinkan I memiliki you sepenuhnya dan menerima kasih sayang I .”



Aku telan liur dengar tekad Redza itu. Selepas itu, lagi sekali Redza nyanyi lagu itu…



Bersambung…



P/S: Lagu Rhapsody Kekasih tu nyanyian Aqasha. Saja pinjam, konon2 Redza yg cipta dan nyanyi hihi…

 

Rabu, 21 September 2016

BERDUA TANPA CINTA ~ BAB 22




[Sebahagian nama lokasi, bangunan, jalan dalam cerita ini cuma rekaan penulis semata2. Mungkin ada bahagian yang tak logik dan tak boleh diterima pakai, nama pun fiksyen. Gambar sekadar hiasan dan 99.9 % milik google]



“Weii Nina…kau kenapa?”



Aku tersentak. Zarin sengih pandang aku yang spontan saja mengurut dada sebab terperanjat tadi.



“Tulah, berangan lagi. Masa makan macam ni pun boleh aje kau berkhayal. Ingat cik abang Redza kau tu ke?” Usik Zarin mula tertawa kecil.



“Tak ada maknanyalah aku nak ingat dia tu. Hah! Lagi satu dia tu bukan cik abang aku tahu tak?!”



“Habis kalau bukan cik abang, abang tersayang ke?” Usik Zarin lagi.



“Takdelah semua tu. Aku dengan Redza tak ada apa-apa pun. Cuma ikatan yang aku rasa satu kesilapan. Redza dengan aku, ibarat langit dengan bumi. Jauh sangat bezanya. Aku bukan sesiapa pun kalau nak bergandingan dengan Redza.



“Tapi rasanya dia tak pernah pun pertikaikan hal tu, kan? Aku rasa juga kau aje yang selalu rumitkan masalah Nina. Cuba cerita dengan aku, apa masalah kau dengan Redza? Sampai kau tiba-tiba cakap tentang perbandingan kehidupan kau dengan dia?”



“Apa maksud kau?” Soal aku memandang Zarin. Sesuap nasi di kunyahnya sampai habis sebelum membalas pandanganku.



“Kau ada masalah dengan dia, kan?”



“Takdelah.” Cepat aku membalas kata-kata Zarin itu.



“Kau tak payahlah nak selindung Nina. Kita bukan baru kenal pun. Selalunya kalau hal makcik kau dan anak-anak dia tu, kau akan cerita dengan aku. Tapi sejak kemarin, aku tengok kau lain macam aje. Diam…termenung…depan makanan pun boleh aje berkhayal. Dah sahlah ada sesuatu yang ganggu fikiran kau. Dan pasti bukan berkaitan dengan makcik kau tu.” Tebak Zarin dengan yakin.



Aku diam, terkulat-kulat pandang nasi yang masih tak kurang di pingganku. “Tak ada apalah. Aku ok aje.”



“Tak percayalah. Aku tahu…ni mesti pasal Redza. Dia ada buat sesuatu ke yang sakitkan hati kau?” Soal Zarin senyum mengenen.



“Mana ada. Tak ada kena-mengena pun dengan dia. Betullah, tak ada apa-apa. Aku stress mungkin sebab kerja kita makin banyak sejak akhir-akhir ni. lagipun Aini dah nak bersalin, perbelanjaan untuk dia akan bertambah lagi. Tu yang risaukan aku.”



Zarin tenung aku. Macam ragu saja dengan ceritaku tapi kemudian dia turut sama meluahkan rasa tak puas hati dengan kerja-kerja pejabat yang semakin bertimbun. Lepas tu sibuk pula cakap tentang hal Aini. Siap mengutuk suami Aini si Johan tu sebagai suami tak bertanggungjawab! Aku diam saja. Nak cover pun tak guna. Dah memang betul pun, kan.



Tapi sebenarnya memang pun tekaan Zarin yang awal-awal itu betul. Memang aku fikirkan Redza pun. Pagi tadi, kami langsung tak cakap apa-apa pun. Err…sebenarnya memang Redza ada cakap sesuatu masa hantar aku pagi tadi tapi aku yang buat-buat pekak tak dengar. Entahlah, macam rasa pelik saja nak berhadapan dengan dia bila ingat hal semalam itu. Redza pun nampak macam relex saja.



Ok, mungkin benda itu perkara biasa baginya tapi tak pada aku. Tak ada sesiapa pun yang pernah buat macam tu pada aku selama ni. Memanglah dulu masa di kampus pernah juga aku ada teman lelaki. Tapi tak ada langung buat benda-benda yang tak baik. Setakat pegang tangan tu, adalah. Tu pun rasanya cuma dua kali, seingat aku. Aku memang membataskan pergaulanku. Tapi taklah naïf sangat sampai tak tahu semua benda.



Tindakan Redza semalam itu memang mengejutkan aku Berani aje dia buat macam tu pada aku. Nasib baik aku tak terleka lama. Lepas ni, aku kena cakap baik-baik dengan Redza untuk elak benda ni dah berlaku lagi. Redza kena ingat segala janji dia masa kat pulau itu. Kalau dia tak nak, baik dia berudur aje sebelum perasaan yang tak sepatutnya hadir dalam diri dia.



Eh…bukan perasaan dia saja. Termasuk juga perasaan aku sendiri. Semenjak akhir-akhir ni, aku sendiri rasa pelik saja dengan perasaan aku pada Redza. Tengoklah masa dia balik KL hari tu, rasa macam tak tenteram aje. Siap tengok gambar-gambar dia kat tab lagi. Sampaikan Redza fikir aku mula ada perasaan cemburu! Jadi sebelum menular, baik hentikan semua ni saja. Ya, petang nanti aku akan cakap dengan dia.



♥ ♥ ♥



“ Nina, kita balik rumah ye. I dah pesan pizza.” Ujar Redza sebaik saja kereta sudah masuk di jalan utama.



Tu maksudnya bukan balik rumah akulah, kan? Aku toleh dia yang tenang saja memandu itu.



“Tapi Redza, saya kena juga balik rumah. Awak tahukan makcik nanti…”



“You nak makan apa malam ni? Apa kata kita keluar malam ni? I belum pernah ajak you dinner kat luar. Kita pergi makan di Garvy’s French, romantik sikit. Makanan kat sana pun sedap. Tempat pun agak privacy.”



“Redza…”



“Ok, I tahu you nak cakap Nina. Tapi nanti ajelah kita bincang…sekarang, I tak ada mood nak cakap apa-apa.”



Pula dah. Bukan kejap tadi dia cakap hal dinner ke? Dia ni saja aje nak mengelak dari cakap hal yang tergantung sejak hari tu lagi. Aku tahu, Redza memang mengelak aje tiap kali aku minta dia tamatkan ikatan kami ini. Cepat saja dia mengalah bila aku ungkit hal itu.



Sampai rumah Redza, aku terus nak cakap hal itu. Tapi macam yang aku jangkakan Redza memang terus cakap benda lain. Sekarang, minta aku buatkan minuman petang pula. Sudahnya aku buatkan teh saja.



“Kenapa nak balik sana? Kan ini rumah kita. Tempat you disisi I Nina.” Ujar Redza selepas menyisip teh yang aku tuangkan di cawannya tadi.



“Awak dah lupa janji ke?”



“Kan I dah kata, I tak nak teruskan perjanjian tu lagi. Kita lupakan saja semua tu. I nak kita hidup sebagai suami isteri yang sebenar. I nak jalankan tanggungjawab sebagai suami pada you. I harap you tak bantah cakap I kali ni.” Tegas Redza siap renung aku dengan tajam.



“Mana boleh macam tu. Awak tak boleh lupa semua janji awak tu. Janji tetap janji. Saya tetap pegang janji tu.” Aku pun tetap bertegas juga.



“Tapi I tak nak teruskan semua tu lagi.”



“Kalau tak nak, kita putuskan saja hubungan ni.” Balasku cepat.



“No. Tak boleh! I takkan sekali-kali lepaskan you.”



“Jadi, awak kena ikut janji awak tu.”



“Sampai bila? I bosan Nina hidup macam ni. You masih tak izinkan I masuk dalam hidup you sepenuhnya. I dah janjikan akan bantu you. Tapi you langsung tak mahu I tolong, masih nak tinggal di rumah makcik you tu lagi. Sedangkan you dah ada penghidupan di sini. Ini rumah kita. I nak kita bina kehidupan baru di sini.”



“Tak semudah tu Redza.”



“Ya sebab you sengaja rumitkan keadaan tu. Kan senang kalau you cuma ikut cakap I aje.” Keluh Redza memandang wajahku.



“Awak tak faham Redza. Dari hari tu, saya tahu awak takkan faham keluarga saya. Macam nilah. Kita berpisah aje. Saya pun dah malas nak tambah masalah dalam kepala ni.” Aku terus bangun dan bawa cawan ke sinki. Air teh yang masih setengah dalam cawan aku buang. Segera aku basuh cawan itu.



“I tak nak berpisah dengan you. Jangan harap!” Ujar Redza lagi tegas.



“Suka hati awaklah. Tapi awak ingat, jangan cuba-cuba ambik kesempatan lagi macam semalam. Saya tak suka!” Balasku sambil mengesat tangan dengan tuala kering.



Redza diam. Nampak jelas muka tak puas hatinya itu. Dia kemudian melangkah ke tempatku dan tiba-tiba saja menarik aku rapat ke tubuhnya. Tak sempat buat apa, Redza sudah memagut bibirku. Tapi aku tak sekali terleka macam semalam. Spontan dengan kasar aku tolak mukanya dan lepaskan diri dari pelukannya.



“Apa ni Redza?!” Marahku.



“Apa? I ada hak apa buat semua tu. Dari hujung rambut you sampai hujung kaki, milik I.. I boleh buat ikut suka I. Jangan lupa I suami you Nina!” Balas Redza keras.



“Saya benci awak Redza! Saya nak balik. Hantar saya pulang.”



“Rumah you kat sini Nina. I tak izin you ke mana-mana.” Ujar Redza menarik tanganku.



“Saya nak balik juga!”



“Tak boleh.” Lagi keras nada suara Redza dari tadi. Malah dia sudah mula menarik aku dalam pelukannya semula.



“Hantar Saya balik Redza!!!” Pekikku lagi kuat membuat genggaman tangan Redza perlahan-lahan terlerai.



Suasana terus sunyi lepas itu. Entah kenapa aku tiba-tiba rasa macam tak patut terjerit macam tadi tu. Redza bukan tunjuk tingkah-laku yang evil pun tadi. Biasalah lelaki akan cuba menahan kalau seorang perempuan nak pergi. Itu saja yang Redza buat tadi. Yang aku sampai terjerit tadi apa hal pula? Ish! Overnya… sekarang nak angkat muka pandang Redza pun dah tak berani.



Suasana bening tu dipecahkan dengan bunyi loceng di pintu. Hanya lepas 3 kali bunyi loceng itu, barulah Redza berganjak dari hadapanku. Terlepas terus nafas kelegaan. Redza terus ke ruang depan. Oh! Rupanya budak penghantar Pizza.



Redza letak 3 kotak besar Pizza di atas meja. Banyaknya? Macam sekali untuk makan malam. Padahal tadi, dia kata nak keluar makan malam juga.



Tanpa pandang aku, dia terus berlalu masuk ke bilik. Redza marah ke? Semacam pula bila suasana macam ni. Aku baru berkira-kira nak keluarkan kotak Pizza tu dari plastik besar tu bila Redza sudah keluar semula dari bilik.



“I hantar you pulang.”



Hah? Hantar aku? Aku pandang Redza yang serius itu. Err…tak makan pizza dulu ke? Redza sudah berdiri depan pintu, sedangkan aku masih tercegat dekat meja itu. Pelik. Bukan tadi aku nak pulang ke? Kenapa sekarang ni kaki aku berat pula nak melangkah?



Bila Redza sudah buka pintu, barulah aku cepat-cepat capai beg aku. Redza bawa sekali pizza tadi tu. Sampai dalam kereta tak ada kata bual langsung dari Redza. Aku jadi serba salah pula bila keadaan tegang macam ni.



Kenapalah aku boleh jerit dia tadi? Mesti dia rasa kecil hati dengan sikap aku tadi. Walau apa pun, dia tetap seseorang yang harus aku hormati. Kalau tak suka sekali pun, boleh saja cakap elok-elok dengan dia.



Redza nampak jenis yang boleh dibawa berbincang. Mungkin tindakan nakal dia tu, hanya kerana penolakanku yang agak kasar sejak semalam lagi. Sebelum-sebelum ni, Redza memang tunjuk nakal juga tapi dia akan berhenti bila aku cakap baik-baik. Tak lebih-lebih pun.



Sesekali aku pandang Redza. Dia nampak macam tak peduli langsung aku disebelahnya. Dia tak nak cakap apa-apa ke? Tak apalah nanti sampai rumah aku akan cuba cakap dan sekaligus minta maaf pada dia.



Sampai rumah, ingatkan Redza ikut keluar. Rupanya dia cuma hantar aku pulang saja. Eh, bukan dia tidur sini ke?



“Awak tak tidur sini?”



Redza diam saja. Terus capai Pizza dalam plastik itu yang diletak di tempat duduk belakang.



“Awak marah Redza?” Soal aku menyambut pizza itu. Dan macam tadi Redza tetap diam. Aku pula yang rasa malu sebab pertanyaan aku tak berbalas. Hah! Padan muka. Jentik lagi perasaan orang. Tapi takkan dia nak kecil hati? Dia lelaki, patut lebih cool. Selama ni pun dia nampak jenis tenang dan bukan jenis lelaki yang cepat melenting. Redza, maafkan saya…



♥ ♥ ♥



“Hah! Baru ingat nak balik! Ingatkan dah mampus kat tengah jalan tadi.” Sergah makcik sebaik saja aku masuk dalam rumah. Aku buat pekak saja. Tak ada mood pun nak balas lansung. Bukan tak biasa dengan maki-hamun semua tu. Aku terus ke dapur dan letak Pizza tu di atas meja sebelum terus masuk ke bilik.



Selepas maghrib aku ke dapur untuk siapkan makan malam. Pizza tadi dah berusik pun. Cuma tinggal sekotak saja. Aku jenguk ke ruang tamu, dua kotak pizza tu dah jadi habuan makcik dan anak-anaknya! Hurmm…perut tong sampah betul! Lepas masak nasi, barulah aku nak makan pizza. Capai pinggan dan buka kotak pizza…yummy, nampak mengiurkan sangat.



“Oh! Perempuan, aku nak duit!”



Tak semena-mena Aliza muncul di dapur. Kotak pizza aku tutup semula. Dia ni jarang sangat muncul kat rumah. Kalau tunjuk muka pun memang tak ada sebab lain, nak minta duit aje. Ingat aku ni tukang cap duit ke apa?!



“Kakak tak ada duit. Pergi minta dengan makcik. Semua bahagian Liza kakak dah bagi makcik.” Walaupun Aliza tak pernah hormatkan aku, aku tetap bahasakan diri sebagai kakak padanya. Hakikatnya dia memang adik aku, adik yang berkongsi ayah.



“Mak tak ada duit. Dah habis untuk beli barang-barang Aini!” Balas Aliza kasar macam selalu.



“Habis tu ingat kakak ni ada duit lagi ke?”



“Eh, tu tanggungjawab kaulah cari duit untuk kita orang! Jangan banyak cakaplah, bagi aje aku duit!” jeritnya kuat.



“Kalau nak duit, pergi cari sendiri. Takkan duit kau berpeleseran kat kelab tu pun, kakak yang perlu sediakan? Tak boleh ke berfikir matang sikit?”



Pap! Melekat tapak tangan makcik di pipiku. Rasa pijar sangat kulitku. Entah bila masa makcik tercegat di situ.



“Bukan main kau sekarang ni, dah berani nasihat anak aku. Dia minta duit, bagi ajelah. Tak perlu nak cakap banyak!”



“Saya mana ada duit lagi. Semua dah bagi makcik pun.”



“Tipu mak. Dia ada duit tu.” Celah Aini yang turut sama menjenguk ke dapur.



“Hah! Bagi cepat.” Tolak Aliza pula.



“Saya dah kata, saya tak ada duit. Tak boleh faham ke? Tak boleh ke makcik berjimat? Hampir semua gaji saya makcik ambik. Takkan yang tinggal sikit ni pun makcik nak ambil? Saya nak isi minyak kereta macam mana?”



“Kau nikan…dah berani cakap macam tu ye. Sejak akhir-akhir ni melampau betul perangai kau. Mentang-mentang kau dah kahwin dengan jantan yang kau upah tu, kau dah berani nak melawan aku!” Balas makcik dengan suara kuatnya itu.



“Saya tak ada niat nak melawan makcik. Saya cuma letih dengan semua ni…tolonglah faham keadaan saya.”



“Faham kepala otak kau!” Jerkah makcik dengan satu tamparan lagi di mukaku. Berdesing telinga aku dengan tamparan kuat makcik itu.



“Ambik duit kau cepat, aku dah lambat ni!” Jerit Aliza pula.



“Saya dah cakap saya tak ada duit.” Ujar aku dengan airmata yang dah bergenang.



“Jom, mak tengok kat bilik dia.” Aini terus masuk diikuti Aliza dan makcik. Oh! mereka nak ke bilik aku. Tak boleh, aku takkan biarkan mereka masuk. Cepat aku ke bilik tapi dah terlambat mereka dah dulu masuk dan selamba saja menyelongkar laci dan almari ku.



“Tolonglah jangan buat macam ni. Pergi keluarlah…” Tolakku pada Aliza yang nampak sengaja menyepakan semua barang-barang dalam bilik.



“Mak! Tengok ni dia dah ada tab. Ada iphone baru lagi.” Jerit Aini yang menuang isi beg tanganku.



“Tak ada duit konon. Rupanya beli macam-macam benda mahal. Memang kau sial sangat. Nak menipu aje kerjanya.”



Makcik terus menolak aku jatuh dan menendang aku beberapa kali. Rasa sakit sangat. Tak cukup itu, Aini tarik tangan aku. Rupanya dia nak cabut cincin pemberian Redza itu.



“Tak boleh. Jangan Aini.” Dalam esak tangis aku cuba bertahan. Tapi Aliza pula bantu Aini dan mudah saja kedua-dua cincin itu mereka cabut dari jariku.



“Bagi balik cincin tu.” Rayu aku.



Mereka nak dengar? Maaf, cuma tendangan bertalu-talu sebagai balasan atas rayuan itu. Perut aku rasa senak sangat, pinggang dan belakang aku jangan cakaplah…sakit sangat.



Bila Aini nak bawa tab dan iphone itu, aku cuba tarik dia. Kali ni aku cuba sedaya-upaya ambik benda tu. Mungkin sebab Aini agak gemuk dan mengandung pula membuat dia tak berdiri dengan stabil. Bila aku rampas aje, dia terus terduduk. Makcik yang memang dah macam orang kena rasuk tu, apalagi pukul aku lagi teruk.



Bukan setakat tendang, siap segala barang keras dia ketuk di kepala dan badan aku. Aliza pun sama, Entah benda apa yang dia palu berkali-kali di kakiku. Sakitnya cuma tuhan saja yang tahu. Rasa dah tak mampu aku nak tahan semua tu. Aku cuma mampu menangis menahan segala kesakitan itu.



♥ ♥ ♥



Sayup-sayup azan subuh kedengaran. Aku cuba bangun tapi tak mampu. Betul-betul tak mampu. Ya Allah aku dah tak berdaya…seluruh badan terasa sakit sangat. Lepas di belasah teruk semalam, aku cuma terbaring di lantai saja. Aku tak mampu langsung untuk bergerak. Hanya airmata yang masih mengalir.



Perlahan-lahan aku cuba bangun dan mengesot dekat meja untuk dapatkan iphone yang terpelanting di bawah meja itu. Aku perlu hubungi Redza. Tapi diakan marahkan aku? Mungkin dia tak nak ambil peduli pada aku lagi. Aku rasa sangat jauh dari lelaki itu. Ada rasa sesal dalam hati bila engkar kata-katanya.



Dan aku perlu sedar, mungkin selepas ini aku takkan dapat berbaik dengan dia lagi. Aku tarik nafas dengan susah payah. Sakit sangat. Baik aku cuba hubungi Zarin saja. Tapi cuma seketik aku dapat bertahan, terasa kepala aku berpinar-pinar dan sakit sangat. Pandangan aku pun mula gelap dan aku dah tak ingat apa-apa lagi lepas itu.





Bersambung…

Khamis, 15 September 2016

BERDUA TANPA CINTA ~ BAB 21





Baju-baju yang sudah siap berhanger, aku gantung dalam almari. Sementara itu Redza masih lagi sibuk memindah dan menyusun semula kedudukan katil, meja solek dan rak yang baru saja makcik beli untuk tempatkan barang-barang bayi Aini yang bakal lahir nanti.



Mujur juga Redza ikut aku pulang ke sini, dapat jugalah aku minta dia buat semua kerja-kerja yang berat itu. Kalau tak, memang sakit pingganglah jawapnya bila aku terpaksa buat semua kerja alih perabot tu. Ingatkan juga, makcik cuma minta aku kemas bilik Aini setakat kemas biasa-biasa saja.



Macam selalu yang aku buat selama ni, kemas almari dia dan pakaiannya yang berlonggok tak pernah berlipat. Semua main sumbat je dalam almari. Bilik Aini memang dari dulu pun macam tongkang pecah. Tak pernahnya dia nak kemas. Entah bila dia nak berubah jadi rajin sikit. Ingatkan dah kahwin bolehlah berubah. Ini tidak, makin teruk pula aku lihat. Bilik pun tak pernah nak sapu.





“Nina, bila baby Aini dijangka lahir?” Redza memecah kesunyian antara kami. Sejak tadi Redza tekun dengan kerjanya. Aku yang mengemas pakaian yang berlonggok itu, segera menoleh Redza.



Lelaki itu tengah mengalihkan rak baru itu di sebelah katil bayi.



“2 bulan lagi agaknya.”



Redza terangguk-angguk pula. Kemudian dia mengemas katil bayi itu pula sebelum beralih merenungaku. Aku kembali menyiapkan kerjaku. Tapi kemudian pandang Redza semula bila perasan dia masih lagi merenungku. Rasa tak selesa pula bila dia asyik pandang aku.



“Kenapa?”



“I terfikir tentang anak-anak kita nanti. Mesti comel macam you.”



Aku lepaskan keluhan. Mulalah dia ni nak cakap hal yang bukan-bukan. Tengok dia dah senyum sendiri sambil membuai katil bayi itu.



“Nina…boleh tak kalau kita hidup normal macam orang lain?”



“Kenapa sekarang ni kita hidup macam alien ke?” Soalan aku balas dengan soalan juga. Redza tergelak kecil pula.



“Bukan maksud I macam tu. Boleh tak kita jadi suami isteri yang betul-betul? Kita lupakan syarat-syarat tu. I rasa kita serasi, walaupun perkenalan kita memang singkat.”



“Redza, I tak suka cakap hal ni.” sambut aku tak senang. Tangan ligat melipat baju-baju Aini yang masih banyak berlonggok ini.



“Tapi I suka. I impikan sebuah keluarga yang bahagia dengan you, Nina. Ada anak-anak yang comel. Mesti seronokkan? Mereka panggil I daddy dan panggil you mummy” Redza berangan lagi sambil senyum sendiri.



“You kahwin jelah dengan tunang you tu, mesti dia tak teragak-agak nak tunaikan impian you tu.” Aku malas sebenarnya bila dia ungkit hal macam ni. Malas dengar dia merepek yang bukan-bukan.



“Masalahnya, I terbayang wajah you yang jadi ibu anak-anak I…bukan Emilin. Nina, kita bina keluarga kita ye? I janji akan bahagiakan you dan anak-anak kita nanti. I sayang you Nina.”



Sayang? Aku telan liur dengar kata-kata Redza itu. Hilang idea nak susun ayat untuk membalasnya. Terkebil-kebil pula aku pandang Redza yang tersenyum itu. Seketika aku sudah melarikan pandanganku. Kerja melipat tadi aku sambung tapi dalam hati, sebenarnya aku tak mampu dah nak tumpukan sepenuh perhatian pada kain yang berlonggok ini. Kata-kata Redza sedikit sebanyak sudah mengocak hatiku yang tenang tadi.





+ + + + + + +





“Belum tidur lagi?”



Aku sekadar menggeleng tanpa memandang Redza yang sudah berbaring di katil itu. Entah sudah kali keberapa aku kemas buku dan majalah yang ada di atas meja ini. Saja buat sibuk untuk mengelak dari Redza.



Entah, aku rasa Redza macam lain macam aje. Lepas perbualan kami di bilik Aini petang tadi, Redza nampak mengada-ngada pula. Asyik senyum-senyum dan nak dekat-dekat dengan aku aje. Bila ingat tentang keinginannya nak berkeluarga bagai…aku jadi ragu-ragu dengan janjinya dulu. Takkan dia dah lupa syarat perjanjian itu? Ke, dia buat-buat lupa?



Aku pandang dari ekor mata, jelas yang Redza menancapkan renungannya pada aku. Terasa debaran mula mengisi bahagian dada! Tenang…tenang...jangan tunjuk takut, buat selamba saja. Bukan tak pernah pun Redza tayang perangai nakal macam ni. Cuma…yelah kali ni, cara Redza tu lebih sikit. Dan aku pula, entah kenapa rasa lain macam. Berdebar tak tentu pasal. Memanglah sebelum ni ada juga tingkah Redza yang buat jantung nak jatuh tapi aku selalu buat endah tak endah saja. Tapi kali ni, aku cuba buat relex pun perasaan tu tak hilang. Makin kuat degupan jantung aku. Oh…susah macam ni…



“Nina, dahlah tu…jom tidur.”



Ahh sudah! Redza dah panggil tu. Terasa tangan aku menggeletar masa ni. Buat macam tak dengarlah kononnya tapi bila kali kedua Redza panggil, aku macam orang kena pukau aje. Terus melangkah ke tempat Redza.



“Baring sini…” Redza mengarahkan aku berbaring di lengannya kanannya. Aku teragak-agak tapi bila tengok renungan redup Redza yang penuh mengharap itu, aku turutkan juga. Redza senyum sambil pegang tangan aku dan diletak di dadanya.



“You boleh rasa tak degupan jantung I?” Soal Redza. Aku diam tapi memang rasa pun dada dia berdegup agak luar biasa. Dia pun berdebar juga ye? Ingatkan aku aje. Tapi siapa suruhkan nak mengada-ngada mesra macam ni. Buang tabiat betul.



“Nina, I rasa semakin hari semakin tak boleh tahan berdua macam ni dengan you. Kita halalkan…I nak you Nina. You fahamkan maksud I.”



Sumpah! Aku rasa nak terkucil aje masa ni. Takut dengar ayat Redza itu. Aku cuba mencari-cari ayat yang sesuai untuk membalasnya. Tapi tak semena-mana, Redza beralih sedikit dan memandang aku dari tepi. Tangannya spontan saja sudah melingkar di pipi kananku. Terkebil-kebil aku pandang wajah Redza yang sangat hampir itu.



Jantung aku makin kuat degupannya. Aku cuba tarik nafas perlahan-lahan…cool-lah konon-kononya sebelum nak buka mulut, ingatkan syarat yang mungkin Redza dah buat-buat lupa. Tapi baru nak cakap, Redza sudah mendaratkan ciumannya di bibirku. Jeda…



Aku menolak Redza bila terasa nafas aku sesak. 



“Awak buat apa ni?” Aku terus duduk sambil cuba mententeramkan perasaan aku yang tak menentu tadi.



“Buat apa yang I teringin nak buat sejak kali pertama jumpa you di Pulau dulu.”



“Awak…awak…” Dahi aku berkerut. Apa maksud kata-katanya itu? Sejak di pulau dulu, dia sudah menginginkan aku?



“Nina, I nak kita hidup normal macam pasangan lain. I nak jalankan tanggungjawap I sebagai suami.” Ujar Rezda sambil mencapai tanganku.



Aku pejam mata seketika. “Kita dah janji masa kat Pulau hari tu…”



“Boleh tak lupakan saja penjanjian bodoh tu? I nak kita buka lembaran baru Nina. Hidup macam orang lain.” Tegas suara Redza kali ini.





“I tak boleh. Tak boleh sama sekali.” Keluhan berat aku lepaskan. Seraya itu terus bangun dan mencapai narita dalam almari. Aku bentangkan di sebelah katil dan capai sebiji bantal.



“Nina…”




“Selamat malam.” Ucapku terus berbaring.



“Nina…I belum habis cakap lagi.” Rungut Redza. Aku pejam mata. Tak mahu peduli dia. Tapi Redza beralih ke bawah pula.



“Jangan ganggu I Redza!”



“Tapi Nina…”



“Redza, kalau you tak tahan semua ni. Tamatkan saja semua ni. Lepaskan I. Awak takkan terseksa. Biar kita hidup macam sebelum ni.” Giliran aku bertegas pula.



Redza diam, pandang aku sebelum dia tunduk meraup wajahnya. Nampak kecewa aje muka dia. Kesianlah pula. Tapi apa yang dapat aku buat? Takkan nak turutkan saja kemahuan dia? Takkan sewenang-wenangnya dia dapat apa yang dia nak? Bukan dia juga yang beriya-iya menyakinkan aku dia jenis yang berpegang janji? Mana semua janji dia itu?



Dia saja layan perasaan gila dia tu. Kalau tak, takdelah dia nampak mengada-ngada macam tadi. Sampaikan aku sendiri boleh terleka. Arghh..terasa malu dan marah juga bila kenangkan tindakan dia mengambil kesempatan pada aku tadi. Redza memang tak patut buat macam tu!



“Nina…”



“Tolonglah Redza. I tak nak kusutkan fikiran dengan hal ni lagi. I nak tidur. Selamat malam.” Balasku terus tarik selimut sampai kepala.





Bersambung…

Ahad, 4 September 2016

Berdua Tanpa Cinta - 20



[Sebahagian nama lokasi, bangunan, jalan dalam cerita ini cuma rekaan penulis semata2. Mungkin ada bahagian yang tak logik dan tak boleh diterima pakai, nama pun fiksyen. Gambar sekadar hiasan dan 99.9 % milik google]



Seperti yang Redza cakap semalam, tengahari itu Redza sudah menanti aku di lobi. Sebenarnya aku serba-salah masa ni. Memang aku ingat Rezda kata nak lunch dengan aku. Tapi bila ingat tentang kes di telefon semalam, aku tak berani nak jumpa dia.




Eh, bukan tak berani, tapi lebih kepada tak sanggup berhadapan dengan dia. Aku malu bila ingat yang Redza tahu aku cemburu.



Jadi aku sengaja ajak Zarin keluar makan. Dalam masa yang sama berharap sangat Redza lupa tentang janjinya nak lunch dengan aku. Tapi tak sangka pula, keluar saja dari lift, sudah terpandang Redza berdiri dekat pintu utama bangunan ini.



Terus saja dia senyum memandang aku. Sedangkan aku memandangnya dengan wajah serba tak kena.



“Hai!” Sapanya. Aku diam, Zarin saja yang membalas sapaanya itu.



“Korang ada janji ke?” Soal Zarin terus.



“Lunch date.” Sambut Redza selamba.



“Eh, bila masa kita janji?” Soalku pura-pura terkejut pula. keluarlah bakat lakonan aku yang selama ini terpendam.



Redza tenung aku. Tapi aku buat-buat selamba konon tak ingat langsunglah tu.



“Sorrylah, saya tak ingat. Err…saya dah janji nak makan dengan Zarin.” Ujarku pula.



“Eh, tak apalah Nina. Lain kali jer kau belanja. Aku makan kat warung mak Jah jer la. Suraya pun belum turun lagi tu. Nanti aku ikut diaorang je.” Cepat Zarin buat keputusan.



“Mana boleh, aku dah janji dengan kau.” Aku dah buat isyarat agar Zarin tak tinggalkan aku dengan Redza. Kalau tak rosak rancangan aku nak mengelak dari lunch dengan dia tengahari ini. Tangan Zarin pun aku pegang.



“Tapi Redza…”



“Apa kata kita makan sama-sama? Ramai-ramai lagi bagus.” Pantas Rezda potong kata-kata Zarin itu. “Nanti I bolehlah kenal-kenal dengan kawan baik you ni. Jom Zarin.” Tambah Redza lagi terus mempersilakan Zarin mengikutnya.



Zarin pandang aku, belum sempat aku bagi isyarat agar dia tolak. Zarin dah pandang Redza dengan anggukan. Terus saja Redza senyum dengan senang hati. Sempat lagi kenyit mata pada aku yang sudah berkerut dahi ini.



Kalau ikutkan, nak saja aku tercegat depan lobi ini. Biar Zarin saja yang ikut Redza pergi lunch. Tapi nanti apa pula kata Zarin, dah nampak sangatlah pula tadi tu aku memang dah rancang untuk mengelak. Lagi satu, tak sampai hati pula nak jatuhkan air muka Redza depan Zarin.



Aku melangkah mengikut Redza dan Zarin ke tempat letak kereta. Redza sempat lagi membuat panggilan dengan Adriea, entah aku tak dengar sangat apa yang dia cakapkan dengan PA dia tu. Lepas tu dia buat satu panggilan lagi, entah dengan siapa. Tapi sekejap saja, panggilannya itu ditamatkan.



Sampai di keretanya, Redza terus buka pintu untuk Zarin di bahagian belakang. Ingat nak masuk sekali duduk dengan Zarin di belakang. Tapi Redza macam tahu-tahu saja niat aku tu. Cepat dia tutup pintu dan buka pintu depan.



“Naiklah,” arahnya bila aku masih tercegat tak bergerak langsung. Aku mencebik tanda tak puas hati. Redza pula sengih, perlahan tolak bahu aku untuk masuk ke dalam keretanya itu.



Dengan rasa berat aku masuk juga dalam kereta Redza itu.



“Nina, kau merajuk ke ?” Soal Zarin di belakang.



“Tak ada maknanya nak merajuk dengan dia ni.” Balas aku geram. Zarin ketawa pula di belakang sana.



Redza ambil tempat di sebelahku. Aku tarik seat-belt tapi boleh pula tersangkut, dua tiga kali aku tarik masih tersangkut lagi. Redza kemudian membantu aku memasangnya. Dia meletakkan tangannya di tangan aku yang memegang seat-belt itu. Sekali tarik saja, tali hitam itu terus melurut. Eh, senanglah pula. Kenapa aku tarik tadi asyik tersangkut je?



Lepas pasang seatbelt tu, Redza tak lepas pula tangan aku sebaliknya dia mengemaskan genggamannya itu. Anehnya aku pula tak menarik tanganku itu. Terus biarkan untuk beberapa saat.



“Macam mana? Dah lerai rindu you kat I?” Soal Redza.



Aku tercengang pula dengar pertanyaannya itu. Berkerut dahi ku, tak faham apa dia kata.



“Atau I perlu peluk you atau cium you untuk hilangkan rindu tu?” Soalnya lagi selamba.



“Err…apa awak cakap ni?” Tanya aku tergagap. Kali ni memang aku dengar dengan jelas pertanyaannya itu.



Serta-merta aku tersedar, terasa muka jadi panas. Dia ni ikut sedap mulut je tanya aku macam tu. Tak fikir Zarin yang ada di belakang. Jujurnya aku memang terlupa seketika tentang Zarin masa Redza bantu aku pasang seatbelt tadi. Malah masa ni juga aku baru teringat tangan aku yang masih dalam genggaman Redza. Cepat aku menariknya itu pun dua tiga kali tarik barulah Redza lepaskannya.



Zarin sudah terkekeh-kekeh ketawa di belakang.



“Apa awak ni, tak malu betul,” Ujar aku dengan rasa geram.



Redza pandang belakang dan gelak bersama Zarin. “Zarin ok je..you je yang malu-malu.”



Aku mencebik, dia ni macam sengaja je nak buat macam tu. sajalah tu nak buat aku malu. Geramnya! Tengok tu selamba pula cuit hidung aku. Nak kena betul dia ni. Mengada-ngada betul. Nasib baik Zarin ada, kalau tak aku dah keluar dari kereta ni. Biar dia pergi makan sorong-sorang!






❤ ❤ ❤





Redza bawa aku dan Zarin makan di Restoran Sri Indah. Ini kali pertama aku masuk ke restoran tepi laut ini. Rupanya Redza sudah buat tempahan sejak pagi tadi. Tapi masa tu dia tempah untuk kami berdua saja. Sampai-sampai tadi dia terus bercakap dengan ketua pelayan restoran ini, minta tukarkan tempahan untuk 5 orang. Mulanya aku pelik juga, siapa lagi yang Redza ajak.



Bila kami sudah di tempatkan di bahagian luar restoran yang berhadapan dengan laut, barulah Redza cakap pada aku yang dia ajak Zed dan Adriea sekali. Tak lama lepas tu, kawan baiknya itu pun muncul. Diikuti oleh Adriea yang datang beberapa minit kemudian.



Suasana jadi meriah bila sudah berlima. Rancak saja Redza dan Zed berbual. Begitu juga Adriea yang cukup ramah berbual dengan aku dan Zarin.



Rasa seronok pula makan ramai-ramai macam ni. Kena pula ada orang yang suka buat lawak macam Zed itu. Ada-ada saja modal dia buat lawak. Sesekali mengusik dan mengenakan Adriea juga.



“Balik kerja nanti, kita keluar jalan-jalan ye.” Cadang Redza bila kami sudah keluar dari restoran itu.



Masa itu Zed, Adriea dan Zarin sudah berjalan di hadapan. Rancak pula mereka berbual sambil sesekali ketawa. Entah apa saja cerita mereka itu. Tapi rasanya saja bagi peluang untuk aku dan Redza berbual agaknya.



“Rasanya tak boleh sebab saya nak balik cepat, dah janji dengan makcik. Nak kemas bilik Aini.” Aku segera teringat pesanan makcik pagi tadi.



“Hah! Kemas bilik pun, mereka suruh you ke?” Soal Redza nampak pelik dengan perkara itu.



Aku sekadar mengangguk. Redza mengeluh pula, nampak sangat tak puas hati.



“Suami dia kan ada. Kenapa tak suruh suami dia je yang tolong kemas?” Ujar Redza sambil lepaskan keluhan lagi.



“Dah seminggu suami dia tak balik rumah.”



“Dia kerja apa? sampai tak balik rumah?” Soal Redza lagi.



Aku angkat bahu tanda isyarat aku tak tahu. Sekali lagi Redza melepaskan keluhan.



“Redza kalau you nak, you balik je rumah you.” Ujarku memandang Redza. 



Masa itu kami sudah sampai di tempat letak kereta. Zed, Adriea dan Zarin sudah berdiri di sebelah kereta Redza. Rupanya kereta Zed dan Adriea pun di parkir di situ juga.



“Tak apalah, I ikut you balik.”



“Tapi…”



“Kita sama-sama kemas bilik Aini,” Pangkas Redza sambil senyum pandang aku.



“Hmmm…suka hatilah.”



Sudahnya aku setuju saja dengannya. Orang nak tolong, biar jelah kan. Kurang-kurang dah juga buat kerja dengan cepat nanti.





bersambung...

Rabu, 31 Ogos 2016

Berdua Tanpa Cinta - 19



[Sebahagian nama lokasi, bangunan, jalan dalam cerita ini cuma rekaan penulis semata2. Mungkin ada bahagian yang tak logik dan tak boleh diterima pakai, nama pun fiksyen. Gambar sekadar hiasan dan 99.9 % milik google]




Aku buka mata, dah jam berapa ni? Perlahan-lahan aku tengok jam tangan yang aku letak dekat meja tepi kipas. Serta-merta mata aku terus segar bila tengok jarum panjang dan jarum pendek itu. Biar betul, dah nak habis subuh dah? Kelam-kabut aku bangun dan ke bilik air.






Kenapalah aku boleh terlajak tidur ni? Selalunya aku set alarm handphone antik aku tu. Tapi sejak guna handphone Redza tu, aku memang tak perlu set alarm lagi. Yelah, buat apa nak guna alarm tu kalau Redza sendiri yang akan kejutkan aku untuk bangun tiap subuh. Ni, dia takde terlajaklah pula tidur.






Hemm…belum apa-apa lagi dah ingat Redza. Bukan aku marah ke dengan dia semalam? Arghh…kacau betul! Malas nak ingat hal semalam. Cepat-cepat aku basuh muka dan gosok gigi. Lepas tu terus ambil wuduk dan tunaikan solat subuh.






Hatiku tenang lepas mengerjakan suruhanNYA. Hilang segala kekusutan yang menganggu fikiranku sejak semalam. Aku segera ke dapur untuk menyediakan sarapan. Nasib baik makcik belum bangun, kalau tak mau dengar dia membebel awal pagi ni. Aini? Sejak dulu dia memang tak suka bangun awal pun. Jadi aku tak perlu risau tentang dia.






Habis semua kerja rumah, barulah aku masuk ke bilik untuk berehat. Handphone yang aku simpan dalam laci aku ambil. Eh, ada missed call dari Redza lebih kurang dua pagi. Tiga kali missed call. Waktu subuh pula, dua kali dia menghubungi nomborku. Redza juga tak lupa text aku.






Nina, bangun…solat subuh






Aku terus tersenyum pula baca mesej itu. Ingatkan dia di sana, dia takkan kejutkan aku waktu subuh. Nampaknya aku salah. Redza memang tak pernah lupa. Aku senyum lagi. Tapi kemudian senyum aku mati bila ingat hal semalam. Ahh…kenapa nak ingat lagi hal tu? Sedangkan lepas sembahyang tadi aku dah lupa pun hal tu. Aku bangun, segera kemas bilik yang memang dah sedia kemas. Aku saja buat sibuk, mengalihkan fikiranku dari mengingati hal semalam.






Tapi peliknya, makin tak nak ingat makin pula teringat. Satu-satu gambar Redza yang mesra-mesra itu tergambar di mataku. Eh, bencinya nak ingat semua tu. Handphone yang aku letak atas meja dekat kipas itu berbunyi. Bergema lagu The Fly, Redza yang call. Nak angkat ke? Baik jangan. Akukan marah dia sejak semalam. Jadi, buat apa nak layan dia.






Sekali, dua kali lagu itu bergema…aku masih tak nak sambut. Tapi bila kali ketiga lagu itu kedengaran, pantas saja tangan aku capai handphone itu dan sambut panggilan Redza.






“Hai! Sayang! Good morning? Tadi breakfast apa?”






“Apa ni sayang-sayang? Gila ke apa?” Sambutku kasar.






“Whoa…lain macam bunyi. Takkan pagi lagi dah moody? Kenapa ni?” soal Redza dengan nada lembut di hujung talian.






Eh, bencinya dengar nada dia macam itu…aku tengah marah ni, boleh dia cakap slow macam orang berbisik-bisik dalam kelambu!






“Siapa perempuan dalam gambar awak tu? Kenapa gambar dia banyak sangat dalam handphone dan tab awak tu?” Terkeluar soalan itu dari mulutku. Nafas dah mula kencang naik turunnya tanda perasaan aku memang tak berapa nak baik masa ini.






“Perempuan?”






“Ya, perempuan cantik yang seksi tu. Asal awak ambil gambar peluk-peluk dengan dia? Tak boleh ke ambil gambar biasa-biasa je? Benci tau tak?!” Luahku dengan rasa marah.






“You tengok gambar I ?”






“Tak, gambar-gambar awak tu keluar sendiri kat siling, kat dinding kat lantai semua tu!” Semburku dengan rasa sakit hati. Dada aku usap bila sudah terasa semacam di bahagian itu. Perasaan yang ganggu aku semalam.






Kemudian terdengar bunyi ketawa Redza di hujung sana. Apa yang lucu sampai dia ketawa terbahak-bahak pula ni? Menyakitkan hati betul aku dengar.






“Redza!” Panggil aku dengan geram.






“You rindu I semalam? Sampai tengok gambar-gambar I tu? Lepas tu you asyik terbayang-bayangkan I kan. Sampai semua tempat pun you nampak I. Nina, Nina…you buat I rasa macam nak terbang jer masa ni.” Tutur Redza selamba dengan sisa tawanya.






“Apa awak merepek ni? Bila masa saya rindu awak pula?” Balas aku. Aku tambah marah bila dia kata aku rindu dia, hei…tolong sikit. Tak ingin aku nak rindu-rindu dia. Buang masa jer, bukan dapat apa pun. Pergilah minta rindu dengan perempuan yang dia peluk-peluk itu.






“Ok, kalau tu bukan namanya rindu. Habis, namanya apa? Gila bayang ke?” Soal Redza mula gelak-gelak lagi.






“Redza! Saya marah tau tak? Boleh awak ketawa macam tu?”






Lagi kuat Redza ketawa di hujung sana. Arghhh…kalau dia ada depan mata, memang aku pukul dia dengan bantal peluk ni. Aku serius, dia boleh gelak selamba badak macam tu. Entah apa saja yang lucu dan mengelikan hatinya.






“You marah sebab cemburu, kan?”






“Cemburu? Nak buat apa saya cemburu? Tak ada maknanya!”






“Habis yang you marah-marah ni kenapa?”






“Sebab…sebab gambar-gambar awak tu la…”






“See, you memang jealous pun. You marah tengok gambar I dengan kawan I tu kan?” Duga Redza.






“Saya tak marahlah.”






“Tadi you kata marah, lepas tu tak mengaku pula. Nina, Nina. Mengaku je la perasaan you tu.?”






Aku hilang kata.






“Nina, rindu dan cemburu tu normal…I suka, maknanya I dah mula ada dalam hati you. Thanks sayang.”






Aku terdiam dengar kata Redza itu. Aku rindu dan cemburu? Mana ada aku rasa macam tu. Cepat aku mahu menafikan tapi entah kenapa otakku rasa beku saat ini. Tak tahu hendak luah macam mana. Malah rasa marah tadi bertukar dengan rasa malu pula. Aku baru tersedar yang aku dah bersikap macam budak-budak. Malunya…






“I tak sabar jumpa you esok. I jemput you lunch nanti. Jaga diri tau. Bye sayang, assalamulaikum.”






Aku masih tak bergerak. Walaupun sudah seminit lebih Redza menamatkan panggilannya.






Kenapa aku baru sedar sesuatu? Aku tak sepatutnya lepaskan kemarahan aku tadi pada Redza. Cakap pula pasal gambar-gambar dia dengan perempuan tu. kan, dah termalu sendiri. Kantoilah. Redza tahu aku memang geladah semua gambar dia di handphone dan tab itu. Sepatutnya aku tak perlu nak melenting macam tadi. Kenapalah aku tak boleh kawal perasaan aku? Apa saja yang merasuk aku pagi-pagi ni sampai tak mampu nak kawal emosi?






Aku bukan jenis yang buat perkara mengejut atau tak terancang. Aku jenis yang tenang tapi peliknya, kenapa hal melibatkan Redza, aku jadi semacam pula? Mudah saja emosi aku terganggu dek gambar-gambar dia. Apa yang dah jadi dengan aku ni? Betul ke aku sudah meletakkan Redza di hati aku? Oh! Tak mungkin. Tak boleh sama sekali. Aku tak boleh jadi macam ni!






Mengenangkan Redza yang akan pulang esok, aku tiba-tiba rasa cemas pula. Apa yang patut aku buat esok? Aku rasa malu nak jumpa dia bila ingat tentang kesilapan aku tadi. Redza begitu yakin yang aku rindukan dan cemburukan kemesraan dia dengan perempuan dalam gambar dia tu. Dia nampak seronok saja bila aku marah-marah tadi. Argghhh…pasti malu nak jumpa dia esok.






Bersambung…